KELEBIHAN PUASA RAMADHAN
Puasa adalah satu ibadah yang difardhukan
oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan umat baginda. Kefardhuan ini
dinyatakan secara jelas oleh Allah SWT melalui wahyuNya di dalam surah
al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud “wahai
orang-orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu berpuasa,
sepertimana yang telah difardhukan ke atas umat terdahulu daripada kamu,
semoga kamu bertakwa”.
Terdapat
banyak kelebihan yang akan dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang
berpuasa. Abu Hurairah ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah
SAW yang bermaksud “puasa itu
perisai, maka janganlah kamu mencela dan berkata-kata kotor, jika ada
seseorang yang mahu mencelanya, katakanlah kepadanya : sesungguhnya aku
ini berpuasa - 2 kali -. Demi diriku yang berada di tanganNya,
bahawasanya bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih wangi di sisi
Allah daripada bauan kasturi, dia berpuasa dengan meninggalkan makanan,
minuman dan nafsu syahwatnya semata-mata keranaKu. Ibadat puasa itu
adalah untukKu dan Akulah yang akan memberi balasan pahala kepadanya,
dan setiap satu kebajikan itu akan dilipat gandakan dengan sepuluh kali
ganda”. ( Hadith riwayat al-Bukhari ).
Berdasarkan hadith ini sahaja, beberapa kelebihan akan dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang berpuasa :
Pertama
: Puasa itu adalah perisai. Perisai yang dimaksudkan di sini ialah
perisai dari api neraka. Barangsiapa yang mahu terdinding dirinya
daripada api neraka, maka hendaklah ia berpuasa.
Ada
ulama menyebut bahawa puasa itu sebagai benteng atau penahan bagi orang
yang berpuasa daripada segala nafsu syahwat yang merosakkan puasanya.
Maka apabila seseorang itu berpuasa, ia akan dapat mengekang nafsu yang
buruk bagi dialihkan perhatian kepada perkara-perkara yang boleh
mendatangkan kebajikan dan pahala.
Kedua
: Adab seorang yang berpuasa ialah menjaga anggota pancaindera daripada
melakukan dosa dan maksiat. Di dalam hadith ini disebut secara jelas
larangan mencela dan berkata kotor. Secara lebih umum, larangan ini
merangkumi segala perbuatan buruk. Ini adalah kerana falsafah daripada
ibadat puasa itu sendiri adalah untuk menghalang seseorang manusia
daripada perlakuan negatif. Puasa bukan setakat tidak makan dan tidak
minum bahkan anggota zahir dan batin turut berpuasa. Anggota badan
seperti mata mesti dijaga daripada melihat perkara-perkara yang
diharamkan syarak. Mulut dan lidah pula hendaklah dikawal agar tidak
memperkatakan perkara-perkara cela dan keji, begitu juga telinga, kaki,
kemaluan dan seluruh anggota lain.
Seseorang yang berbohong atau berkata keji akan terhapus pahala puasanya, sepertimana hadith nabi yang bermaksud “sesiapa
yang tidak dapat meninggalkan daripada berkata-kata bohong, dan selalu
beramal dengannya (berbohong), maka tiada dinilai oleh Allah akan
puasanya”
Ini ditambah dengan hadith lain yang bermaksud “ramai dari kalangan orang yang berpuasa tetapi tiada baginya pahala melainkan hanya berlapar dan dahaga sahaja”.
Ketiga
: Kemestian menghiasi diri dengan sifat sabar. Di dalam hadith ini,
nabi mengajar orang-orang yang berpuasa agar bersabar apabila adanya
cubaan untuk mencela dan mengejeknya. Ini adalah untuk mengelakkan
daripada perbuatan yang lebih buruk jika tiada sifat sabar kerana
berkemungkinan akan berlakunya pergeseran, pergaduhan dan perbalahan
sesama muslim. Sesungguhnya berlapar itu sendiri adalah latihan dan
tarbiah Allah kepada manusia agar sentiasa bersabar menangkis
serangan-serangan yang boleh menghilangkan pahala puasanya.
Keempat
: Bau mulut orang yang berpuasa itu secara zahirnya agak kurang
menyenangkan apabila terhidu oleh orang lain, tetapi sebenarnya di sisi
Allah ianya amat wangi dan harum bahkan baunya adalah lebih wangi dari
bauan kasturi. Ada ulama berpendapat bahawa wangian kasturi tersebut
akan dikurniakan oleh Allah di hari akhirat kelak tempat dinilai segala
amalan manusia.
Ada
juga ulama yang berpendapat bahawa pahala yang sebenarnya akan
dianugerahkan oleh Allah itu adalah lebih wangi melebihi wangian
kasturi. Semua ini adalah kiasan dan perumpamaan daripada Allah sebagai
dorongan kepada mereka yang berpuasa. Biasanya seseorang itu akan malu
dan segan jika bau mulutnya yang kurang enak itu akan menyebabkan
manusia lain menjauhkan diri daripadanya, tetapi apabila adanya jaminan
Allah akan keharuman di sisiNya, sekurang-kurangnya dapat memberi
keinsafan bahawa sebenarnya keredhaan Allah itu adalah lebih penting
mengatasi keredhaan manusia.
Kelima : Puasa itu amat besar pahalanya yang akan diberi oleh Allah. Pernyataan Allah di dalam hadith melalui lisan nabiNya “dan puasa itu bagiKu dan Akulah yang akan membalasnya”
adalah satu bukti jelas betapa besarnya kelebihan dan banyaknya pahala
berpuasa. Ini adalah kerana Allah itu sendiri sifatnya Maha Pemurah,
maka apabila hamba-hambaNya diperintah supaya melakukan kebaikan dan
kebajikan, Dia sendirilah yang
akan membalasi pahalanya, dengan sendirinya ini menunjukkan betapa besar
kadar balasan dan luas pemberiannya kepada manusia.
Para ulama ada menerangkan alasan kenapakah Allah SWT menyebut bahawa “puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang akan membalasnya”. Ini adalah kerana puasa yang dilaksanakan itu adalah ibadat yang jauh dari sifat riak dan tersembunyi kerana semua
orang diwajibkan berpuasa dan tiada peluang untuk orang lain berbangga
dengan puasa yang dilakukannya. Tidak sperti solat, zakat, haji,
bersedekah dan ibadat-ibadat zahir yang lain, perlakuan ibadat tersebut
akan menjadi perhatian manusia lain dan berkemungkinan perlaksanaannya
akan menarik perhatian orang yang melihat dan ini akan melahirkan
perasaan riak kepada orang yang melakukannya.
Sebahagian
ulama lain berpendapat bahawa hadith tersebut bermaksud hanya Allah SWT
yang mengetahui kadar pahalanya dan hanya Dia yang berhak menggandakan
pahala tersebut sebanyak-banyaknya daripada segala jenis ibadat lain.
Sebahagian
ulama lain pula berpendapat kenyataan hadith tersebut adalah sebagai
tanda ketinggian ibadat puasa berbanding dengan ibadat-ibadat lain.
Pendapat
yang lain ialah kerana orang yang berpuasa itu sabar dan sanggup
menahan syahwatnya dan meninggalkan makanan semata-mata kerana Allah,
maka kesungguhan itu pahalnya akan dikurniakan oleh Allah bergantung
kepada sejauh mana keikhlasan dan ketulusan hati mereka yang berpuasa
Keenam
: Kebajikan dan pahala kurniaan Allah di dalam bulan puasa akan
dilipatgandakan olehNya dengan 10 kali ganda. Gandaan ini merangkumi
segala amalan-amalan sunat dan kebajikan lain seperti sedekah, bacaan
al-Quran, zikir, iktikaf dan sebagainya. Ia adalah sebagai galakan
supaya ditingkatkan amal di sepanjang bulan Ramadhan dan bukan hanya
sekadar berpuasa semata-mata bahkan orang-orang Islam berpeluang untuk
mempelbagaikan amalan semata-mata untuk menuntut keredhaanNya.
Di
bulan inilah peluang keemasan akan dianugerahkan oleh Allah kepada
hamba-hambaNya kerana akan dibuka segala pintu-pintu syurga, ditutup
pintu-pintu neraka dan dirantai sekelian syaitan-syaitan.
Maka
alangkah ruginya orang-orang Islam jika tidak mengambil peluang dan
kesempatan yang ada ini. Berusahalah sebaik mungkin untuk memanfaatkan
bulan Ramadhan dengan berpuasa di siang harinya dan menghidupkan
malamnya. Semoga semua amalan yang dilakukan itu akan diterima oleh
Allah SWT InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment